Semangat Perjuangan

Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

Selasa, 25 November 2008

Hukum Melaksanakan Ibadat Korban




Hari Raya Aidiladha adalah salah satu hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam. Dalil disyariatkan Aidiladha adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik r.a, dia berkata, Nabi s.a.w. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah, maka baginda bersabda, Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri. (Riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959).

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai Hari Raya Haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu rukun Islam iaitu ibadat Haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana di antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri dalam rangka beribadat kepada Allah s.w.t.

Ibadat korban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. kerana taatkan perintah Allah. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak Allah maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, Allah gantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Saaffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini maka saban tahun ketika merayakan Hari Raya Aidiladha, maka umat Islam menyembelih binatang-binatang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.


KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAT KORBAN

Ibadat korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya. Ini sebagaimana ditekankan oleh Allah melalui firman-Nya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 36-37)

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadat korban seperti berikut:

1) Ibadat korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat. Ia mempereratkan hubungan kasih sayang di antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dan dengan golongan yang bernasib baik yang dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan dan kelapangan hidup melalui pengagihan daging-daging korban tersebut.

2) Ibadat korban juga berupaya membentuk insan yang bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

3) Ibadat korban juga dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit dibelanjakan hanya demi untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada Allah kerana menurut perintahnya.

5) Ibadat korban merupakan amalan yang mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadat tersebut bakal menerima khabar gembira daripada Allah iaitu balasan serta ganjaran yang baik daripada-Nya.

HUKUM IBADAT KORBAN

Tentang hukum melaksanakan ibadat korban maka para ulama berbeza pendapat yang dapat kita bahagikan kepada dua:-

1) Wajib bagi yang mampu. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi'ah al-Ra'yi, al-Auza'i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan pendapat ini dirajihkan (dibenarkan) oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah.

Dalil-dalil yang dipakai oleh mereka yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:- Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al-Kauthar: 2).

Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadat korban sebagaimana solat kerana kedua ibadat tersebut dihubungkan dengan huruf wau (dan) yang menunjukkan kesamaan hukum.

Daripada Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali, dia berkata: Nabi s.a.w. solat pada hari Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang ) korbannya dan bersabda: Barang siapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), maka sembelihlah yang lain sebagai penggantinya. Dan barang siapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama Allah. (Riwayat Bukhari di dalamShahih al-Bukhari, hadis no: 985).

Perintah Rasulullah s.a.w. untuk mengulangi ibadat korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia wajib. Jika tidak wajib pasti baginda tidak akan mengarahkan agar ia diulang semula.

*Wajib

Dari Mikhnaf bin Sulaim, dia berkata: Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah, lalu berkata: Wahai manusia. Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahunnya (mengerjakan ibadat) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu? Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab). (Riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, hadis no. 1438).

Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadat korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walaubagaimanapun hukum untuk ‘atirah telah dimansuhkan namun ia tidak mengharuskan pemansuhan ibadat korban dan hukumnya yang wajib masih terus sah sampai sekarang.

2) Sunat atau sunat muakkad bagi yang mampu. Pendapat ini pula merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam al-Syafie r.h. Golongan ini pula berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:-

Daripada Ummu Salamah, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Jika masuk 10 hari pertama Zulhijjah dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih (haiwan) korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. (Riwayat Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Adhohi, hadis no: 1977).

Ini adalah dalil bahawa ibadat korban itu tidak wajib dengan dasar sabda Nabi dan salah seorang dari kalian ingin yang menggambarkan baginda menyerahkan kepada kehendak seseorang.

Seandainya ibadat korban itu wajib pasti baginda tidak akan menyerahkannya kepada kehendak seseorang dengan bersabda: “Maka janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”

Daripada Jabir, dia berkata: Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w. solat Aidiladha di musholla (tanah lapang). Ketika selesai khutbahnya, baginda turun dari mimbarnya, lalu dibawakan seekor kambing dan Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri dan berkata: Bismillah wa Allahu Akbar hadza ‘anni wa ‘amman lam yudhahi min ummati (Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar, ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih). (Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 2427).

Sabda Rasulullah s.a.w: Ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih disampaikan secara mutlak tanpa perincian merupakan dalil tidak wajibnya ibadat korban. Sekiranya ia wajib tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadat tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada mereka.

Kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah sabit daripada baginda s.a.w. dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.

Apa pun jua hendaklah kita mengikuti saranan Syaikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti agar sentiasa mengerjakan ibadat korban ini apabila mampu bukan sahaja kerana menyahut seruan baginda s.a.w. agar, “Tinggalkanlah yang ragu kepada yang tidak ragu”.

Sebaliknya, ia membuktikan kepatuhan kita kepada perintah Allah s.w.t serta kesungguhan kita untuk menghidupkan sunah Nabi s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan