Semangat Perjuangan

Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

Selasa, 25 November 2008

Larangan Menjadikan Bahagian Kurban Sebagai Upah

Larangan Menjadikan Bahagian Kurban Sebagai Upah

Menjelang musim hariraya kurban, maka peringatan-peringatan yang berdasarkan kepada as-Sunnah perlu diulangi agar para pelaksanaannya tidak melanggari batasan yang digariskan.
Seluruh para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan kurban(al-Adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: "Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging kurban" (jld. 1, m.s. 703, cetakan Dar al-Khair, Beirut)


Perkara ini telah diketahui oleh kebanyakan kita, namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging kurban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah dari kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadith-hadith yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Riwayat-riwayat hadith tersebut adalah daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:"Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya." (Riwayat al-Bukhari hadith ke-1716, Muslim, hadith ke-1317)
Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: "Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri".

Walaupun hadith di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah kurban. Apa yang penting ialah larangan dari menjadi sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan kurban atau al-hadi (sembelihan haji). Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam, katanya: Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang kurban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukan sebagai upah. Hukum sembelihan kurban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (jld. 4, m.s. 148 cetakan Dar al-Ma'rifah, Lubnan)

Dengan hadith di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan kurban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang kurban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya: "Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah" (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut)

Ketika mengulas hadith ini, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: "Hadith ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan kurban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan" (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut)

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging kurban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Ini juga boleh dikiaskan dengan sebarang upah yang diberikan dari sembelihan korban maka sama hukumnya iaitu haram.

Al-Imam al-Nawawi sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`i di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu': "Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah (الهدي) dan sembelihan kurban dijual. Samada ia kurban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih .."(juz. 8 m.s. 419-420 ctk. Dar al-Fikr, Beirut)

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: "Tidak boleh dijadikan bahagian dari kurban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun kurban itu adalah kurban sunat.( m.s. 149 ctk. Dar So`ab, Beirut.)

Kata Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris iaitu seorang ulama dari Jordan dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: "Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan kurban memberi walaupun sedikit bahagian kurban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Ctk.: Maktabah al-Manar, Jordan)

Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian kurban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan kurban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadith-hadith tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadith-hadith berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian kurban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian kurban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: "Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian kurban.

Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang kurban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala kurban yang dijanji dan kurban kita terbatal. Kata Mustafa al-Khin dam Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh kurban di dalam mazhab al-Syafi`i: "Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan kurban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikurbankan dan merosakkannya".( juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian kurban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan kurban.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: "Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikurban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa". (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian kurban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.
Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian kurban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian kurban). ( juz. 5 / m.s. 221, Ctk. Dar al-Jil, Beirut)

Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan kurban.

Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya seperti yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadith yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian kurban yang mengakibatkan rosaknya kurban yang kita lakukan. Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan. Kurban ada peraturannya yang ditentukan syarak. Pastikan agar kurban itu diterima di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan