" Dan carilah pada apa yang di anugerahkan kepadamu ( kebahagian ) akhirat dan janganlah kamu melupakan dari nikmat dunia (berbuat baik dengan orang lain ) seperti Allah telah membuat baik keatas kamu dan janganlah kamu membuat kerosakan dimuka bumi "sesungguhnya Allah tidak suka orang - orang yang membuat kerosakan"
Semangat Perjuangan
Khamis, 17 Mei 2012
Solat berjemaah
Ketaatan kita mengerjakan solat secara berjamaah sudah pasti akan mendapat keredhaan Allah s.w.t kerana ianya merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang sangat diutamakan. Tuntutan berjamaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam An-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Tanggapan bahawa solat berjamaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan bertentangan dengan perintah Allah SWT.
Sebagaimana firmanNya :
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjamaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk
(surah Al-Baqarah ayat 43)
Maksud suruhan RUKUK BERSAMA ORANG YANG RUKUK dalam ayat di atas, ialah suruhan supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.
Selain dari itu dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjamaah itu, Nabi s.a.w memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjamaah dengan sengaja tanpa uzur syarei.
Sebagaimana sabda Baginda s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah r.a. :
“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjamaah) walaupun dengan cara merangkak
(ke tempat solat).
"Sesungguhnya aku berhasrat (disatu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat (fardhu secara berjamaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam) bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan solat fardhu (secara berjamaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”
Sesungguhnya tiada alasan kepada warga PDRM untuk meninggalkan solat berjamaah kerana tugas-tugas yang dilaksanakan sebenarnya sedikit pun tidak menghalang mereka daripada menunaikan suruhan Nabi s.a.w. Sebagai agensi peneraju utama penguatkuasa undang-undang Negara, warga PDRM seharusnya lebih taat dalam mengerjakan solat secara berjamaah kerana ianya merupakan suatu lambang kekuatan ummah dan semangat kepatuhan kepada pemimpin. Solat berjamaah mendidik diri setiap warga PDRM supaya patuh dan setia kepada pemimpin semasa melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan Negara.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang dan berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
(surah Al-Saff ayat 4)
Dalam ayat lain menjelaskan betapa dituntutnya solat berjamaah sekalipun pada masa peperangan kita dituntut melaksanakannya.
Perkara ini boleh dilihat dalam FirmanNya :
Dan apabila Engkau (Wahai Muhammad) berada Dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu Engkau mendirikan sembahyang Dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak Yang lain (yang kedua) Yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.
(surah An-Nisaa' ayat 102)
Maksud dari ayat di atas dapat difahami bahawa Allah SWT menjelaskan kepada kita tuntutan dan cara melakukan solat fardhu berjamaah pada masa peperangan. Jika solat fardhu dalam masa peperangan dituntut supaya dilakukan secara berjamaah, maka tuntutan solat fardhu supaya dilakukan secara berjamaah dalam suasana aman damai adalah lebih dituntut dan diutamakan.
Saya berdoa semoga Allah Ta’ala memberi kekuatan kepada kita semua khasnya kepada warga PDRM Kontinjen Johor agar dapat melaksanakan solat 5 waktu secara berjemaah. Tunaikanlah tanggung jawab kita kepada Allah Ta’ala dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Semoga perjalanan kehidupan dan tugas-tugas yang kita laksanakan mendapat keberkatan dan keredhaanNya.