" Dan carilah pada apa yang di anugerahkan kepadamu ( kebahagian ) akhirat dan janganlah kamu melupakan dari nikmat dunia (berbuat baik dengan orang lain ) seperti Allah telah membuat baik keatas kamu dan janganlah kamu membuat kerosakan dimuka bumi "sesungguhnya Allah tidak suka orang - orang yang membuat kerosakan"
Semangat Perjuangan
Khamis, 17 Mei 2012
marah..!! Anda sedang marah..!,
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.
“ Berwasiatlah kepadaku, “ Lalu Nabi s.a.w menjawab : “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab :“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
(Riwayat al-Bukhari)
Satu lagi hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya
“Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”
(Riwayat Ibn Abi Dunya)
Sifat marah itu biasanya berlaku apabila orang yang kedudukannya lebih rendah melakukan kesalahan atau perbuatan yang tidak disukai oleh orang yang merasakan dirinya lebih berkuasa. Contohnya seorang ayah merasakan lebih berkuasa kepada anaknya dan seorang ketua pejabat merasakan lebih berkuasa kepada kakitangan bawahannya.
Tidak semua sifat marah itu dilarang. Ada sifat marah yang terpuji iaitu perasaan marah apabila berlakunya pelanggaran terhadap hukum yang dilarang oleh Allah. Contohnya seorang ketua pejabat yang marahkan kakitangan bawahan yang suka ponteng kerja. Memarahkan kakitangan tanpa usul periksa dan memalukan kakitangan di hadapan kawan-kawan sekerja yang lain adalah dilarang. Perbuatan ketua pejabat yang melakukan perkara tersebut boleh dianggap sebagai perbuatan zalim dan tidak disukai oleh Islam.
Perasaan marah yang tidak dapat dikawal adalah dicela kerana apabila rasa marah itu dikawal oleh hawa nafsu semata-mata tanpa berlandaskan penghayatan agama dan iman yang teguh. Kita sering mengaku bahawa syaitan itu musuh kita, tetapi masih ada di kalangan kita yang sentiasa mengikut telunjuk syaitan tanpa disedari apabila dia bersikap reaktif terhadap sesuatu masalah dan mudah melemparkan kemarahan.
Imam al-Ghazali berkata
“Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
4 TIPS MEREDAKAN KEMARAHAN
(1) Menarik nafas dalam-dalam
Setiap manusia mempunyai tahap kemarahan yang tersendiri, ia bergantung kepada kandungan hormon serotonin yang dikeluarkan apabila anda marah. Untuk mengawal kemarahan, anda perlu menarik nafas dalam-dalam kerana udara akan membantu untuk mengurangkan kadar hormon ini. Dan cara ini juga sudah terbukti secara klinikal.
(2) Mengingatkan diri anda sendiri
Seseorang yang tidak dapat mengawal kemarahan adalah merupakan orang yang tiada keyakinan pada diri sendiri. Ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Steven Stosny yang merupakan pemegang PHD dalam bidang psikologi manusia. Apabila anda marah, tiada siapa yang mampu mengawalnya melainkan diri anda sendiri. Anda perlu ingatkan diri sendiri tentang kesan daripada kemarahan anda. Sudah pasti ia memberi kesan negatif yang lebih banyak berbanding kesan positif.
(3) Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira
Sekiranya anda sedang marah dan hanya memikirkan mengenai kemarahan, sudah pasti ia akan menjadi lebih buruk. Anda sepatutnya perlu mengelakkan daripada berfikir mengenainya. Cuba fikirkan sesuatu yang mungkin memberikan ketenangan atau kegembiraan pada diri anda.
(4) Keluar daripada situasi kemarahan
Pemikiran seseorang yang sedang berada dalam keadaan marah akan menjadi kabur. Jangan meletakkan diri anda terus didalam situasi tersebut kerana sudah pasti anda akan membuat keputusan yang akan membebankan anda kelak. Cuba mencari jalan untuk keluar daripada situasi tersebut dengan cara yang anda rasa selesa terhadapnya seperti mendiamkan diri, keluar bersama rakan atau sebagainya.