Imam Syafie pernah ditanya tentang 8 perkataan- wajib, terlebih wajib, pelik, terlebih pelik, payah, terlebih payah, hampir, terlebih hampir.
(Kalau ditanyakan 8 perkataan ini kepada para sarjana Islam di zaman ini yang bergelar Dr yg hebat-hebat itu agaknya apa jawapan mereka?)
Soalan ini muncul ketika membicarakan tentang muhasabah Ramadhan. Lebih separuh dari Ramadhan telah kita lalui. Sudahkah kita memuhasabah segala amalan yang telah ditunaikan sepanjang 2 minggu lepas?
Dalam memuhasabah ini saya telah menyampaikan satu kuliah. Ringkasannya:
-Kita bertemu malam ini dalam keadaan dunia dipenuhi krisis-krisis politik, ekonomi, keruntuhan akhlak dan lain-lain. Krisis paling besar ialah krisis manusia dengan Tuhannya.
-konsep khalifah Allah mesti difahami
-Ramadhan-puasa, Quran, qiam dan lain-lain dimuhasabah.
-Hadis Nabi SAW bermaksud: ‘Segeralah beramal dalam 7 keadaan. Kamu tidak menunggu melainkan faqir yang melupakan kamu dari beramal, atau kaya yang menjadikan kamu melampaui batas, atau sakit yang merosakkan anggota badan kamu untuk beramal, atau tua yang memayahkan untuk beramal, atau mati yang menjadi penamat kehidupan, atau dajjal. Ia sejahat perkara yang ditunggu, atau Kiamat dan Kiamat itu lebih perit dan dahsyat.’
-Nabi SAW bersabda kepada Abu Zar, maksudnya: ‘Wahai Aba Zar! Teguhkan bahtera kerana laut itu dalam. Perbanyakkan bekalan kerana perjalanan itu panjang. Ringankan belakangmu kerana bukit itu tinggi pendakiannya. Ikhlaskan amalan kerana Tuhan Yang Maha Melihat itu Sangat Melihat (akan perbuatanmu).’
-Imam Shafie ditanya tentang 8 perkataan. Jawab beliau dalam syairnya:
Wajib atas manusia untuk bertaubat
tetapi tinggalkan dosa itu terlebih wajib
Seluruh masa diguna utk bertaubat itu pelik
Lalainya manusia dari bertaubat terlebih pelik
Sabar tunaikan perintah itu payah
Tetapi luputnya pahala itu terlebih payah
Semua perkara yang diharap itu hampir
Dan mati itu sebenarnya terlebih hampir