Semangat Perjuangan

Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

Selasa, 16 Jun 2009

Islam agama perjuangan

Waktu Nabi saw.wafat dan berita kewafatannya tersebar dikalangan ummat Islam, ramai di kalangan mereka yang tidak percaya . Kerana mereka menganggap bahawa Nabi Saw. mustahil boleh wafat . Malahan Omar bin Khattab waktu mendengar kewafatan Nabi itu berkata dengan amat marah :" Sesiapa yang berani mengatakan bahawa Nabi wafat adalah pengkhianat . Tidak ! Nabi tidak wafat. Nabi sedang menghadap Tuhannya sebagaimana ia pernah terjadi dengan Nabi Musa a.s. dan baginda akan segera kembali ketengah-tengah kita . Sesiapa yang masih berani mengatakan Nabi wafat, akan ku pancung lehernya".

Dalam saat-saat genting dan penuh kebimbangan itu, datanglah Abu Bakar sambil berkata kepada orang ramai: " Kalau saudara-saudara menyembah Muhmmad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi kalau saudara-saudara menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia tetap hidup selama-lamanya ".


Kemudian Abu Bakar membacakan Al-Qur'an Surah Ali Imran ayat 144 :
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)".

( QS Ali Imran ayat 144 )



Setelah Abu Bakar selesai mengucapkan kata-kata tersebut, maka Omar berkata :" Demi Allah ! Setelah Abu Bakar membaca ayat-ayat itu, solah-olah saya tidak dapat berdiri tegak lagi, kerana terasa kaki saya amat gementar lamah. Saya hampir-hampir terjatuh pingsan, sebab saat itulah baru saya insyaf, bahawa Rasulullah saw. kekasih ummat benar-benar telah wafat".


Untuk memelihara supaya tidak ada perhambaan terhadap diri peribadi Nabi saw., Allah Swt. menurunkan ayat yang berbunyi :
" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

(QS Al-Kahfi ayat 110)



Dalam kehidupan seharian diriwayatkan, bahawa pergaulan Rasulullah saw. dengan keluarga serta sahabat-sahabatnya adalah sebagaimana biasa yang dilakukan oleh manusia dengan manusia lainnya.
Kalau Rasulullah saw. datang disuatu tempat dimana para sahabat sedang berkumpul, maka diucapkannya salam. Oleh sahabat-sahabat salamnya itu disambut sambil berdiri memberi hormat. Maka rasulullah saw. menegur mereka, supaya jangan berdiri menghormatinya sebagaimana kebiasaannya pada orang-orang Parsi menghormati pemimpin-pemimpinnya. Dimana ada tempat yang kosong, maka disitulah baginda duduk sehingga tidak berbeza sedikitpun dengan sahabat-sahabatnya.
Satu ketika Rasulullah saw. pergi berbelanja kepasar dan membeli sehelai kain ( seluar ). Waktu itu Abu Hurairah ikut bersama baginda. Setelah harga pembelian barang itu dibayar, maka Abu Hurairah ingin menunjukkan perasaan cinta dan hormatnya kepada Rasulullah saw. sambil berkata :" Biarlah aku yang membawa kain itu ya Rasulullah . dengan tersenyum baginda menjawab:" Si empunya kain lebih layak membawanya wahai Abu Hurairah".
Dirumah tangga Rasulullah saw. sering membantu keluarganya meringankan pekerjaan mereka, baginda suka membantu didapur, menghidupkan api atau mengambil air dan kalau ada pakaiannya yang perlu ditampal, ditampalnya sendiri, sekalipun Muhammad adalah seorang rasul, seorang Kepala Negara dan seorang Panglima yang sering memimpin peperangan,sebagaimana yang dikatakan oleh Jawaharlal Nehru : " King and Pope in one".
Diwaktu perang Badar, Rasulullah saw. mengatur penempatan tentera disuatu tempat, dimana ia dipandang oleh Hubab Al-Anshary sebagai satu kesalahan besar. Hubab memberanikan diri untuk bertanya kepada rasulullah saw. ,apakah Rasulullah saw.menempatkan tentera ditempat itu dengan perantaraan wahyu atau tidak. Dijawab oleh Rasulullah saw., bahawa penempatan itu menurut perhitungannya sendiri. Dengan spontan waktu itu Hubab Al-Anshary menyatakan, bahaw penempatan tentera ditempat yang ditentukan Rasulullah saw. itu akan berakibat kerugian besar bagi pasukan ummat Islam, dan setelah diberinya penjelasan-penjelasan secara detail, maka Rasulullah saw. menyedari akan kesilapannya dan mengarahkan supaya pasukan itu segera dipindahkan ketempat lain.
Jelas, bahawa masalah-masalah keduniaan ada sahaja terdapat kekurangan pada diri peribadi Rasulullah saw., dan baginda pernah bersabda yang maksudnya :
" Kalau ada sesuatu yang mengenai agamamu, maka itu soal aku; dan kalau ada yang mengenai soal keduniaanmu, dalam hal ini kamu lebih mengetahui ".

( Hadis)



Demikianlah beberapa contoh yang mana menunjukkan bahawa Rasulullah saw. dalam pergaulan hidup seharian sentiasa berusaha supaya diri baginda tidak dipuja-puja, didewa-dewakan atau disembah-sembah.


" Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur-Rasulullah".

Hanya Allah lah yang patut disembah dan hanya kepada Allah lah setiap hamba-Nya patut meminta ampun dan pertolongan .


Agama Islam adalah agama amal. Agama yang mengajarkan bahawa seorang Muslim hanya akan mendapat pahala dan ganjaran dari amal yang dikerjakannya, dari hasil keringat peluh dan pengurbanan yang diberikannya.


Adalah ia satu kesilapan yang amat besar dan kefahaman yang tidak mempunyai asas, apabila ia ada anggapan dikalangan ummat Islam , bahawa hanya dengan memuja atau membaca salawat ke atas Nabi saw. seseorang itu akan ,mendapat kehidupan yang baik diakhirat. Kesenangan atau kebahagiaan hidup diakhirat hanya dapat ditebus dengan amal pengurbanan yang syarat rukunnya ditentukan oleh Allah Swt.
Agama Islam adalah agama perjuangan, agama jihad.


Nabi saw. hanyalah seorang utusan, seorang Rasul Allah yang membawa misi ( risalah ) dari Tuhannya Allah swt. bagi ummat manusia, supaya manusia berbuat dan beramal sesuai dengan petunjuk-petunjuk yang diberikannya untuk mendapat karunia serta keridaan Allah swt. didunia dan diakhirat. Tiada daripada itu.


Dalam Islam tiada ada penghambaan manusia ke atas manusia. Tidak pula terhadap Nabi, lebih-lebih lagi terhadap manusia biasa !


Wallahu A'lam