Pendahuluan.
Ya rakan-rakan, akibat peristiwa Nabi Yusuf di fitnah ingin membuat zina dengan Zulaikha, maka baginda dipenjarakan walaupun para pembesar sedar bahawa baginda tidak bersalah. Bagi Nabi yusuf, itu adalah lebih baik daripada baginda terus menjadi perbualan masyarakatnya.
Isi pertama.
Di dalam penjara, Nabi Yusuf tetap beribadah kepada Allah. Malahan, baginda turut berdakwah kepada penghuni-penghuni penjara agar beriman dengan Tuhan Yang Esa. Keperibadian baginda yang tinggi menyebabkan baginda amat disenangi dan dihormati oleh para penghuni penjara. Malahan, baginda menjadi sumber rujukan bagi mereka. Benarlah Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 13
Maksudnya : " Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa ".
Rakan-rakan sekalian,
Kita seharusnya bersyukur kerana kerajaan kita amat prihatin dengan masalah-masalah sosial yang melanda remaja kini. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan Pusat Latihan Khidmat Negara.
Dengan wujudnya program-program sebegini , ia dapat membantu membentuk jati diri remaja bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Isi kedua.
Kisah berkait
Pada suatu hari, Nabi Yusof telah didatangi oleh dua orang penghuni penjara. Mereka telah dipenjarakan kerana dituduh hendak meracuni raja. Mereka telah bermimpi sesuatu yang aneh dan ingin meminta pendapat Nabi Yusuf.
“Wahai Yusuf, aku telah bermimpi sedang memerah anggur” .
“Aku pula telah bermimpi membawa sebakul roti di atas kepalaku, tetapi datang burung dan memakannya. Tolonglah kami menghuraikan mimpi ini”, kata mereka.
Nabi pun berkata kepada pemuda pertama, “Kamu akan dibebaskan daripada penjara. Kamu pula akan dikenakan hukuman atas perbuatanmu.”, kata Nabi Yusuf kepada pemuda kedua.
Tidak berapa lama kemudian, tafsiran Nabi Yusuf menjadi kenyataan. Pemuda pertama kembali bekerja di istana manakala pemuda ke dua dijatuhi hukuman mati. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya, “Maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lakukan”.
(Surah an-Nisa ayat 135)
Ya rakan-rakan,
Sejak kebelakangan ini, isu penculikan kanak-kanak hangat diperkatakan. Malahan ada diantara mereka yang dibunuh dengan kejam. Ish..ish..ish.. kasihan mereka kan? Namun begitu, Allah Maha Mengetahui, lambat laun mereka yang melakukannya pasti dapat ditangkap.
Seharusnya kita juga perlu sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa mereka yang kejam ini.
Isi ketiga.
Kisah berkait
Pada suatu hari, Raja Mesir memanggil semua pentafsir mimpi di negara tersebut. Ini kerana baginda telah bermimpi sesuatu yang aneh namun tiada siapa yang dapat menghuraikan mimpinya.
Lalu pemuda bekas banduan tersebut berjumpa dengan raja dan memberitahu tentang kebijaksanaan Nabi Yusuf mentafsir mimpi. Baginda meminta pemuda tersebut ke penjara berjumpa dengan Nabi Yusuf untuk mentafsir mimpi baginda.
“ Wahai Yusuf, raja telah bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk di makan oleh tujuh ekor lembu yang kurus. Baginda juga bermimpi melihat tujuh tangkai gandum yang subur dan tujuh tangkai gandum yang kering. Aku telah menyatakan kebijaksanaanmu dan raja meminta kau mentafsirkan.
“Maksud mimpi tersebut ialah negara akan mengalami kemakmuran selama tujuh tahun. Segala tanaman dan ternakan menjadi. Namun begitu, kita harus berjimat cermat dan tidak boros kerana kita akan mengalami musim kemarau yang berpanjangan selama tujuh tahun juga,” jelas Nabi Yusuf. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Isra ayat 27
Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara syaitan”
Ya rakan-rakan
Bersyukurlah kita kepada Allah, kita dianugerahkan bumi yang subur dan kekayaan yang banyak. Jadi, janganlah kita bersikap boros dalam menguruskannya. Lihatlah, saban hari kedengaran bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh dan seumpamanya, akibat sikap tamak manusia.
Isi keempat.
Nak tahu apa cerita selanjutnya?
Ya rakan-rakan,
Raja mesir telah mengeluarkan arahan agar Nabi Yusuf dibebaskan. Namun begitu, baginda tidak mahu keluar selagi namanya tidak dibersihkan daripada fitnah yang pernah dilemparkan kepadanya. Lalu, raja memanggil semua wanita yang terlibat agar menyatakan kebenaran.
“Wahai raja, Yusuf tidak bersalah. Aku yang ingin mengodanya dan akulah yang memfitnahnya,” jelas Zulaikha
Pantun : Di dalam penjara hidup sendiri
Angkara wanita baginda dipenjarai
Kenyataan terserlah kebenaran terbukti
Baginda keluar dengan senang hati
Benarlah Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 191
Maksudnya, “fitnah itu lebih bahaya dari pembunuhan.”
Ya rakan-rakan, perbuatan fitnah memfitnah ini amat bahaya sekali. Ini kerana kita akan menyebabkan orang yang tidak bersalah menderita. Seharusnya, kita jangan mempercayai berita yang disampaikan kepada kita selagi kita tidak mengetahui kebenarannya.
Penutup.
Akhirnya, Raja Mesir melantik baginda menjadi Menteri Kewangan Kerajaan Mesir. Berkat kebijaksanaan baginda, tujuh tahun yang makmur berjaya dilalui dan tujuh tahun kemarau juga tidak mendatangkan masalah kepada rakyat atas kebijaksaaan Nabi Yusuf mentadbir negara,
KISAH FATHUL MEKAH.
Awal Bismillah pembuka bicara,
Salam perpaduan untuk semua,
Fathul Mekah satu cerita,
Sejarah kegemilangan umat manusia.
Pendahuluan.
Ya rakan-rakan, setelah enam tahun meninggalkan Kota Mekah, tiba-tiba Rasulullah berasa amat rindu untuk kembali ke Mekah. Apatah lagi, itulah tempat kelahiran baginda. Namun, baginda sedar bahawa hal itu sukar untuk dilaksanakan. Em...adakah mimpi itu akan menjadi kenyataan?
Isi pertama.
Akhirnya, dengan ditemani para pengikutnya, baginda memulakan perjalanan ke Mekah pada tahun ke enam Hijrah. Hasrat di hati orang Islam hanyalah untuk menunaikan umrah ke Baitullah. Bagi membuktikan kehadiran mereka bukan untuk berperang, mereka membawa bersama pedang yang tersarung.
Akhirnya, mereka sampai ke suatu tempat yang bernama Hudaibiah dan mereka berhenti di situ untuk berehat. Rasulullah s.a.w. sedar bahawa pihak musyrikin Mekah tidak akan membenarkan mereka memasuki Kota Mekah. Oleh itu, baginda telah mengutuskan Saidina Uthman b Affan untuk berjumpa dengan pihak Quraisy bagi memberitahu tujuan kedatangan mereka. Em..mulia sungguh keperibadian Rasulullah. Baginda tidak memasuki Kota Mekah tanpa izin pihak Quraisy demi keselamatan para pengikutnya. Benarlah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qalam ayat 4
Maksudnya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia”.
Ya rakan-rakan, sebagai umat Islam, seharusnya kita menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan yang terbaik. Dalam Negara kita misalnya, kita mempunyai pelbagai kaum yang berlainan agama. Namun begitu, kita harus sentiasa mengamalkan akhlak yang baik dengan mereka dan menghormati mereka.
Isi kedua.
Apa berlaku seterusnya?
Ya rakan-rakan,
Saidina Uthman B. Affan telah memasuki Kota Mekah bagi menyatakan tujuan kedatangan mereka. Baginda dan para pengikutnya pula tetap setia menanti kembalinya Saidina Uthman. Sejam,dua jam, tiga jam…masa terus berlalu, tetapi Saidina Uthman masih belum kembali.
Pada waktu inilah, ada pihak yang tidak bertangungjawab menyebarkan fitnah bahawa beliau telah dibunuh. Pihak Islam menjadi gempar.
“Ya Rasulullah, bagaimana sekarang? Kami mendengar perkhabaran bahawa Uthman b Affan telah dibunuh,” kata salah seorang daripada mereka kepada Rasulullah.
Akhirnya, Rasulullah dan para pengikutnya mengambil kata sepakat. Dibawah sepohon pokok yang rendang, mereka telah berjanji sumpah setia akan menuntut bela seandainya benar Saidina Uthman dibunuh. Perjanjian taat setia ini dikenali sebagai Baiatul Ridzwan.
Namun, dalam keadaan kelam kabut ini, akhirnya Saidina Uthman pun muncul. Nabi mengucapkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. Benarlah firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 191
Maksudnya, “Fitnah itu lebih bahaya dari pembunuhan.”
Ya rakan-rakan, perbuatan fitnah memfitnah ini amat bahaya sekali. Ini kerana kita akan menyebabkan orang yang tidak bersalah menderita. Seharusnya, kita jangan mempercayai berita yang disampaikan kepada kita selagi kita tidak mengetahui kebenarannya.
Isi ketiga.
Kisah berkait
Bagi pihak musyirikin Mekah pula, mereka tetap tidak membenarkan Baginda memasuki Kota Mekah pada tahun tersebut. Akhirnya, mereka menghantar seorang utusan kepada nabi untuk berbincang. Mereka membenarkan Rasulullah menunaikan haji pada tahun berikutnya tetapi dengan beberapa syarat.
Ya rakan-rakan, antara syarat yang dikenakan ialah gencatan senjata dan kedua-dua pihak tidak boleh menyerang antara satu sama lain. Semua syarat itu dipersetujui oleh Rasulullah tanpa ada bantahan walaupun ia seolah-olah memberi kelebihan kepada pihak musyirin Mekah. Hal ini disedari oleh para sahabat. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiah.
“ Ya Rasulullah, tidakkah perjanjian ini merugikan kita”? tanya salah seorang sahabat.
Sambil tersenyum, baginda berkata, “ sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Bersabarlah wahai sahabat-sahabatku. Percayalah, ada hikmah disebalik perjanjian ini.
Boria :Menunaikan haji tujuan utama
Syiar islam di bawa bersama
Dengan harapan hasrat diterima
Alangkah sedih harapan kecewa.
Benar ya kawan-kawan, setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Yang penting adalah kesabaran kita untuk menghadapinya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal ayat 46.
ﺇن الله مع الصبرين
Maksudnya:. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Lihatlah kawan-kawan, sehingga ke hari ini kesabaran umat Islam sentiasa diuji sepertimana penyeksaan Umat Islam di Palestin ,Iraq dan Afganistan. Hal ini amat menyedihkan.
Oleh itu,dalam menempuh kehidupan seharian hanya keimanan dan kesabaran menjadi benteng pendinding diri.
Isi keempat.
Nak tahu apa cerita selanjutnya?
Pada suatu hari, datang seorang wakil daripada kaum Bani Quz’ah berjumpa Rasulullah
.
“Ya Rasulullah, pihak Quraisy telah membantu sekutunya menyerang kami””. Adunya.
Mendengar perkara tersebut, Baginda sedar bahawa pihak musyrikin Mekah telah melanggar Perjanjian Hudaibiah yang diibuat.
Oleh itu, Baginda telah mengumpulkan para penduduk Islam Madinah. Tujuan baginda adalah untuk menuju ke Mekah bagi menaklukinya.
Dengan rahmat dari Allah, Nabi berjaya menakluki Kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Rasulullah juga telah memecahkan semua berhala yang ada. Ya rakan-rakan, nampaknya kebijaksanaan Rasulullah menandatangani Perjanjian Hudaibiah itu benar-benar membawa kejayaan bagi umat Islam. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam surah al-Fath ayat 1
Maksudnya, Sesungguhnya kami telah membuka bagi perjuanganmu (ya Muhammad) dengan kemenangan yang nyata.
Ya rakan-rakan,
Usaha itu tangga kejayaan. Baru-baru ini seorang pelajar SPM telah berjaya menjadi pelajar terbaik SPM dengan memperolehi 20 A1 dan 1 A2. Kejayaannya turut didorong oleh sikap rajin belajar dan sentiasa melaksanakan perintah Allah dengan penuh ikhlas.
Oleh itu, kita seharusnya mencontohi sikap beliau seandainya kita ingin memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.
Penutup.
Ya rakan-rakan, dengan pembukaan Kota Mekah ini, maka semakin ramai orang yang memeluk agama Islam. Ini kerana, mereka tidak perlu bimbang dengan sebarang ancaman lagi. Malahan, agama Islam juga turut tersebar ke pelusuk dunia termasuk negara kita, Malaysia.
Sekian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan