Maqasid Syariah secara umumnya adalah rantaian lima prinsip Islam yang asas iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, pada hari ini teras Maqasid Syariah sangat penting dalam penerapannya sebagai model strategik dalam pentadbiran negara ke arah negara maju dan harmoni di mana prinsip asas ini juga menjadi keperluan fundamental kepada pengukuhan sistem pengurusan kewangan dan ekonomi negara, pendidikan serta politik di samping pemantapan pengurusan masyarakat majmuk di Malaysia secara menyeluruh malah sebagai teras terpenting dalam pemerkasaan institusi perlembagaan serta perundangan negara berlandaskan prinsip maqasid syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik.
Menurut Dr. Murat Cizakca, maqasid syariah bermaksud matlamat-matlamat syariat dan rahsia-rahsia (asrar) yang ditentukan oleh Allah untuk setiap hukum merujuk kepada pandangan I'lal al-Fasi. Sehubungan dengan itu, ilmu maqasid pula adalah merupakan ilmu yang mengkaji tentang asas-asas yang menjadi sasaran syarak melalui penetapan hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah. Ini menunjukkan bahawa prinsip atau objektif asas ini merupakan kerangka terpenting dalam aplikasi kehidupan seharian sebagai pemacunya, lebih-lebih lagi dalam realiti hari ini yang cukup mencabar dan memerlukan satu pendekatan yang berkesan bagi memastikan aspek agama, jiwa, akal, keturunan dan harta terjamin.
Dalam pada itu, seperti yang telah disepakati oleh Imam Syartibi dan Al Ghazali bahawa matlamat-matlamat syariat berkenaan merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak iaitu Hifz al-Aql (akal), Hifz al-Din (agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al-Nafs (nyawa) dan Hifz al-Nasb (keturunan), iaitu setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia. Komponen penting maqasid ini membuktikan bahawa Islam adalah sistem hidup yang lengkap, komprehensif, relevan pada bila-bila masa dan sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa jua urusan kehidupan. Garis panduan yang ideal ini adalah bagi memastikan segala keperluan, kehendak dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Hal ini juga selari dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjamin serta melindungi maruah, kepentingan dan serta kehormatan individu di samping memelihara keharmonian hubungan antara manusia.
Dalam aspek yang lebih luas, maqasid syariah juga telah diperdebatkan sebagai matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat Islam demi kepentingan umat manusia sejagat merujuk kepada pandangan Ahmad Al-Raisuni. Selanjutnya, Ibnu Rusyd pula turut menyifatkan maqasid sebagai hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. Manakala pada pandangan al-Syatibi, Allah telah menetapkan syariatNya untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia dan mengelakkan sebarang kerosakan daripada menimpa mereka. Dalam konteks ini, prinsip utama syariah tidak boleh dipandang ringan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana matlamatnnya sangat objektif dan sangat praktikal bagi menjamin kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan keturunan umat manusia di mana prinsip maqasid syariah juga mampu membantu melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan dalam peranan pembentukan individu sehinggalah kepada sebuah negara yang sempurna sama ada dalam bidang intelektual, ketenteraan, sains teknologi, ICT dan sebagainya.
Ibnu Asyur pula telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus di mana maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum, manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak-tanduk perseorangan di mana misalnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat dan sebagainya. Ini adalah bagi memastikan bahawa apa yang ingin dilaksanakan atau dirancang memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua, terjamin serta menampakkan impak positif dan yang paling utama ialah tidak melanggar batasan atau kehendak syariat yang telah ditetapkan. Kepentingan asas dalam maqasid ini dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar politik, ekonomi dan sosial yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan sesebuah negara dan bangsa.
Bagi memastikan perbincangan berkenaan kepentingan maqasid syariah menjadi lebih tuntas maka adalah menjadi keperluan untuk merujuk kepada pandangan al-Syatibi bahawa maqasid syariah secara dasarnya terangkum dalam tiga kategori iaitu kepentingan dharuriyyat, iaitu segala yang sangat penting dalam survival kehidupan manusia untuk dipenuhi. Manakala keperluan hajiyat iaitu sesuatu keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia di mana umat manusia akan menghadapi kesempitan tanpa asas ini dipenuhi dan keperluan tahsiniyat pula suatu keperluan yang tidak penting berbentuk keselesaan semata-mata, bukan suatu kemestian. Oleh itu, dalam melakukan sesuatu tindakan atau perancangan sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek, maka tiga kategori ini perlu menjadi kretiria dan pra-syarat utama dalam membuat sesuatu keputusan berkenaannya terutamanya apabila melibatkan aspek agama, jiwa, akal, keturunan dan harta secara keseluruhannya ke arah pembentukan institusi masyarakat madani yang adil dan progresif.