Semangat Perjuangan

Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

Isnin, 6 Mei 2013

Renungan...dari Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Dalam satu kezaliman yang dahsyat,sehingga rakyat menjadi bodoh,inilah zaman yang disebut oleh Rasulullah S.A.W :

ستأتي على الناس سنوات خداعة يصدق فيها الكاذب ويكذب فيها الصادق. ويخان فيها الأمين ويؤتمن فيها الخائن ويتكلم الرويبضة.....

maksudnya: "Akan datang kepada manusia,tahun2 yang menggoda (tahun2 yg menipu) tahun2 yang keliru, orang yang benar dikatakan bohong,orang yang bohong dikatakan benar,orang yang amanah dikhianat dan golongan pengkhianat diberi amanah.. dan golongan ruwaibidoh bercakap besar. dan para sahabat bertanya,apa ruwaibidoh itu ya rasulullah? jwb rasulullah: al ammatu tatakallamu bi amril khossoh.. iaitu orang awam yang tidak tahu apa,tapi bercakap berkenaan perkara-perkara khusus yang besar dalam bidang agama.

~Inilah zaman yang kita hadapi hari ini,walaupun demikian,Allah S.W.T memelihara agama islam,cahaya agama islam tak boleh di padamakan walaupun di seluruh dunia hari ini, musuh-musuh islam berusaha untuk memadamkan cahaya agama islam. Di Mesir, banyak penangkapan, pemimpin2 islam bukan sahaja di tangkap, tapi di bicarakan di mahkamah tentera,bukan mahakamah biasa,di Pakistan, kumpulan islam di tekan dan di tindas, seluruh dunia,termasuk di negara kita juga sedang di tekan dan di tindas,kita merasakan seolah-olah tidak boleh menang.

~Bila lagi nak menang? Persoalan ini di sebut oleh Allah Taala dalam quran yang bermaksud.. Adakah kamu mengira kamu boleh masuk syurga tuhan dgn mudah padahal belum lagi datang kepada kamu ujian yang di hadapi oleh mereka yang berjuang islam di zaman dulu.. Mereka menghadapi ujian kesusahan dan kesengsaraan ada di antara mereka yang di bakar api,yang di bunuh,yang dikambus hidup-hidup ,yang di belah dengan gergaji,ada di antara mereka yang di penjara, dan lain-lain lagi.. Mereka di goncang sehebat-hebatnya,sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersama dengannya,bilakah datangnya pertolongan Allah.,? Bila lagi nk menang? Maka Allah Taala menjawab,ingatlah pertolongan Allah itu hampir..

~Pertolongan Allah dekat,bila banyaknya ujian,itu menandakan kemenangan dekat, itu tanda kemenangan dekat,akan banyaknya ujian dan cubaan.. Seperti perempuan yang nak melahirkan anak. Sebelum melahirkan anak, perempuan itu sakit,mengeluarkan darah, sakit, dan mengeluarkan darah , selepas itu melahirkan anak.. Anak-anak yg nk tumbuh gigi,dia demam, demam dulu,sakit,pastu tumbuh gigi.. Allah Taala nak jadikn pohon getah,proses dia akan keluar susu selepas itu., Akan brlakunya musim luruh,dilanda oleh ribut,oleh cuaca, sehingga luruh daunnya,selepas itu, ia akan tumbuh keras dan akan mengeluarkan getah yg banyak.

~Ini peraturan yang Allah Taala jadikn. Begitulah perjuangan islam. Apa yg kita alami, kesusahan, kepayahan, berbagai-bagai perkara pada hari ini, bukan bermakna Islam akan di hapuskan, tapi maknanya Islam akan menang.

~ HANYA MEREKA YANG SABAR DENGAN ISLAM,DIA BOLEH MENANG..

Peranan Dan Tanggungjawab Pemimpin Dalam Islam


  

firman Allah swt, Al Anfaal: 27. 
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."


Marilah kita bertakwa kepada Allah swt di mana sahaja kita berada dengan meningkatkan rasa takut kita kepada-Nya, semoga kita sentiasa dibawah jagaan-Nya.
 
Sidang Pembaca sekalian,

hari ini 6/5/2013 kita telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya ke 13   bagi Negara Malaysia, sudah pasti ada yang menang dan ada yang kalah, kegahairahan masyarakat untuk menjadi pemimpin atau kegahairan masyarakat untuk melihat pemimpin yang dicalonkan menjadi orang harapan, bagi merubah sistem kehidupan masyarakat kearah lebih baik, sudah pasti terlalu banyak khendak2 dan harapan yang disandarkan kepada barisan pemimpin , walau pun yang menjadi wakil   itu tidak menilai diri dan mengukur kelayakan diri sendiri bagi bagi menerima tanggungjawab yang cukup besar, sedangkan jawatan pemimpin itu satu amanah dan tanggungjawab.Ada diantara Mereka meminta menjadi pemimpin dalam berbagai jawatan dalam sektor awam atau swasta, sehingga meminta menjadi wakil rakyat dan menteri.Demi untuk memperolehi sesuatu jawatan ada kemungkinan mereka akan melakukan apa saja dan bersedia menghalalkan cara walaupun dengan melakukan jenayah dan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti rasuah, mencaci, mengumpat, menipu dan sebagainya. ketahuilah Memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memeliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah, menegakkan kebenaran, mengujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.
  
Berdasarkan amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin, maka orang yang lemah dan tidak memiliki kelayakan tidak boleh menjadi pemimpin. Oleh itu melantik seorang pemimpin atau pegawai yang tidak memiliki kelayakan kepada sesuatu jawatan sedangkan masih ada orang yang lebih layak kepada jawatan tersebut, merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Allah swt dan Rasulullah saw. Dan sangat bertentangan dengan ajaran syariat Islam kerana akibat dari perbuatan itu, masyarakat dan negara akan musnah dan tergadai serta diangkat keberkatannya.
Sabda Rasulullulah saw; ‘Apabila disandarkan pekerjaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)’.

Sabda Rasulullulah saw lagi; ‘Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin/pegawai di dalam sebuah kumpulannya sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah swt daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah swt dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang-orang yang beriman’.

Demi menjaga kepentingan umat dan negara, demi menjaga pengaruh keduniaan agar tidak meresab masuk ke dalam jiwa pemimpin, Rasulullah saw melarang meminta sesuatu jawatan di dalam pemerintahan, apa lagi merebut tanpa kelayakan dan persedi aan yang mencukupi. Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; 
Kami demi Allah, tidak akan melantik ke jawatan pemerintahan ini, orang yang memohonnya dan juga orang yang sangat-sangat berkeinginan untuk mendapatkannya’.

Sifat loba dan sifat tamak dan menginginkan jawatan akan mendorong seseorang untuk berbuat zalim dan dosa demi untuk mendapatkannya.Apabila sudah dapat berjawatan maka akan dipergunakannya untuk kepentingan-kepentingan dirinya. Adapun orang yang diberikan jawatan berdasarkan kelayakkan, sedangkan ia tidak menginginkan jawatan itu, maka Allah swt akan memberikan pertolongan dan taufik kepadanya di dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang merupakan amanah daripada Allah swt.Orang yang menginginkan jawatan kerana mengejar pangkat, mencari pengaruh, mengumpul harta kekayaan, kemewahan duniawi semata-mata, sangat terdedah kepada melakukan sebarang penyelewengan, pengkhianatan dan penipuan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Kepada mereka ini diingatkan bahawa pengkhianatan dan penipuan yang dilakukan oleh seorang pemimpin sangat besar kesan dan akibatnya keatas diri, keluarga, rakyat dan negara. Diatas perbuatannya itu ia akan menanggung kesusahan hidup di dunia dan di akhirat dan dia akan menyesal kerana disiksa oleh Allah swt di dalam Neraka jahanam nanti.
 
Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; 
‘Tiadalah seorang hamba Allah swt yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah swt mengharamkannya dari memasuki syurga’. (Hadis Muttafaq’alaih)

Seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, tidak boleh melarikan diri dari menjalankan tanggungjawabnya. Kalau dia seorang pemimpin rakyat, maka dia harus turun ke medan menemui rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka. Rakyat hendaklah dilayani dengan adil dan saksama.Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; 
’Sesiapa yang diberi Allah swt kuasa untuk menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, tetapi dia berlindung tidak menunaikan keperluan mereka atau menghiraukan kemiskinan mereka, nescaya Allah swt berlindung Diri tidak melayani hajat dan permintaannya’. (Hadis Sahih)

Ikhwan muslimin, sudah menjadi hak masyarakat untuk dididik dan dibantu oleh pemimpin begitu juga menasihati dan menegur mana-mana pemimpin yang terlanjur dengan cara berkhikmah kerana Islam adalah agama ‘al-nasihah’; nasihah kerana Allah, berpandukan kitabnya dan Rasulnya untuk memimpin kaum Muslimin dan sekalian rakyatnya. Masyarakat dan rakyat hendaklah mentaati pemimpin dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan dan hendaklah bersedia membantu dalam melaksanakan program-program pembangunan dan kebajikan.

Penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin adalah merupakan satu kezaliman yang sangat besar bahayanya, demikian juga menyalahgunaan kekayaan negara dan harta rakyat. Pemimpin atau pegawai yang terlibat dengan mengurus harta kerajaan tidak boleh menggunakan harta kerajaan atau makan harta kerajaan dengan cara yang tidak benar dari segi syariat Islam dan melanggar peraturan. Apapun harta yang di sampaikan kepadanya, hendaklah ia menyerahkan kepada perbendaharaan atau Baitulmal milik kaum muslimin, jangan ada sedikitpun yang dijadikan milik peribadi.
 
Rasulullulah saw bersabda yang bermaksud;
‘Barang siapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk memimpin, lalu dia menyembunyikan harta walaupun sebesar jarum atau lebih kecil dari itu, maka pada hari kiamat nanti dia akan datang membawanya sebagai seorang pengkhianat’.

Seorang pemimpin hendaklah sentiasa peka dan berwaspada terhadap perbagai manusia yang keluar masuk kepadanya dan yang ada di sekelilingnya, lantaran itu hendaklah ia mengambil penasihat-penasihat dari kalangan orang-orang yang baik-baik, ikhlas lagi dipercayai dari kalangan ulamak dan orang yang bijak pandai.
 
Rasulullulah saw pernah mengingatkan kita dengan sabdanya, bermaksud; 
‘Tidak ada seorang nabi diutuskan Allah dan tidak ada pula seorang pemimpin yang diangkat kecuali mereka mempunyai dua jenis teman rapat; teman rapat yang menyuruhnya dan yang mendorongnya berbuat kebaikan dan selalu mendorongnya untuk berbuat baik sedangkan teman yang satu lagi menyuruhnya membuat kejahatan serta mendorongnya berbuat kejahatan. Orang yang terpelihara sebenarnya ialah orang yang mendapat jagaan dan pemeliharaan daripada Allah swt.’ (Sahih Bukhari)

Jalan yang selamat ialah sentiasa berhati-hati, tidak terburu-buru membuat keputusan atau tindakan tanpa bermesyuarah terlebih dahulu. Seorang pemimpin hendaklah bersikap jujur dan mesra dengan masyarakat atau orang bawahannya serta memberi layanan yang adil kepada semua tanpa memilih kasih.
 
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disayangi oleh rakyat atau orang bawahannya. Oleh itu seorang pemimpin hendaklah memupuk kesetiaan masyarakat kepada kepimpinannya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan mereka dan kesetiaan mereka.

Ingatlah sabda Rasulullulah saw; kepada Abu Dzar ra ketika ia meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah saw, Rasulullulah saw menepuk bahunya serta bersabda;
 Hai Abu Dzar kamu seorang yang lemah sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di hari kiamat menjadi hina dan menyesal kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya’.

PERINGATAN : Laksanakan amanah dengan cara yang benar.

Wallahualam





MARILAH BERSAMA LUANGKAN MASA UNTUK MEMBACA TULISAN TUN MAHATHIR.


MENGAPA TUN MAHATHIR SEDIH?
SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

Rabu, 1 Mei 2013

Kepentingan Maqasid Syariah



Maqasid Syariah secara umumnya adalah rantaian lima prinsip Islam yang asas iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, pada hari ini teras Maqasid Syariah sangat penting dalam penerapannya sebagai model strategik dalam pentadbiran negara ke arah negara maju dan harmoni di mana prinsip asas ini juga menjadi keperluan fundamental kepada pengukuhan sistem pengurusan kewangan dan ekonomi negara, pendidikan serta politik di samping pemantapan pengurusan masyarakat majmuk di Malaysia secara menyeluruh malah sebagai teras terpenting dalam pemerkasaan institusi perlembagaan serta perundangan negara berlandaskan prinsip maqasid syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik.

Menurut Dr. Murat Cizakca, maqasid syariah bermaksud matlamat-matlamat syariat dan rahsia-rahsia (asrar) yang ditentukan oleh Allah untuk setiap hukum merujuk kepada pandangan I'lal al-Fasi. Sehubungan dengan itu, ilmu maqasid pula adalah merupakan ilmu yang mengkaji tentang asas-asas yang menjadi sasaran syarak melalui penetapan hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah. Ini menunjukkan bahawa prinsip atau objektif asas ini merupakan kerangka terpenting dalam aplikasi kehidupan seharian sebagai pemacunya, lebih-lebih lagi dalam realiti hari ini yang cukup mencabar dan memerlukan satu pendekatan yang berkesan bagi memastikan aspek agama, jiwa, akal, keturunan dan harta terjamin.

Dalam pada itu, seperti yang telah disepakati oleh Imam Syartibi dan Al Ghazali bahawa matlamat-matlamat syariat berkenaan merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak iaitu Hifz al-Aql (akal), Hifz al-Din (agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al-Nafs (nyawa) dan Hifz al-Nasb (keturunan), iaitu setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia. Komponen penting maqasid ini membuktikan bahawa Islam adalah sistem hidup yang lengkap, komprehensif, relevan pada bila-bila masa dan sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa jua urusan kehidupan. Garis panduan yang ideal ini adalah bagi memastikan segala keperluan, kehendak dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Hal ini juga selari dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjamin serta melindungi maruah, kepentingan dan serta kehormatan individu di samping memelihara keharmonian hubungan antara manusia.

Dalam aspek yang lebih luas, maqasid syariah juga telah diperdebatkan sebagai matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat Islam demi kepentingan umat manusia sejagat merujuk kepada pandangan Ahmad Al-Raisuni. Selanjutnya, Ibnu Rusyd pula turut menyifatkan maqasid sebagai hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu hukum. Manakala pada pandangan al-Syatibi, Allah telah menetapkan syariatNya untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia dan mengelakkan sebarang kerosakan daripada menimpa mereka. Dalam konteks ini, prinsip utama syariah tidak boleh dipandang ringan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana matlamatnnya sangat objektif dan sangat praktikal bagi menjamin kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan keturunan umat manusia di mana prinsip maqasid syariah juga mampu membantu melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan dalam peranan pembentukan individu sehinggalah kepada sebuah negara yang sempurna sama ada dalam bidang intelektual, ketenteraan, sains teknologi, ICT dan sebagainya.

Ibnu Asyur pula telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus di mana maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum, manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak-tanduk perseorangan di mana misalnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat dan sebagainya. Ini adalah bagi memastikan bahawa apa yang ingin dilaksanakan atau dirancang memberi manfaat yang sewajarnya kepada semua, terjamin serta menampakkan impak positif dan yang paling utama ialah tidak melanggar batasan atau kehendak syariat yang telah ditetapkan. Kepentingan asas dalam maqasid ini dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar politik, ekonomi dan sosial yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan sesebuah negara dan bangsa.

Bagi memastikan perbincangan berkenaan kepentingan maqasid syariah menjadi lebih tuntas maka adalah menjadi keperluan untuk merujuk kepada pandangan al-Syatibi bahawa maqasid syariah secara dasarnya terangkum dalam tiga kategori iaitu kepentingan dharuriyyat, iaitu segala yang sangat penting dalam survival kehidupan manusia untuk dipenuhi. Manakala keperluan hajiyat iaitu sesuatu keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia di mana umat manusia akan menghadapi kesempitan tanpa asas ini dipenuhi dan keperluan tahsiniyat pula suatu keperluan yang tidak penting berbentuk keselesaan semata-mata, bukan suatu kemestian. Oleh itu, dalam melakukan sesuatu tindakan atau perancangan sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek, maka tiga kategori ini perlu menjadi kretiria dan pra-syarat utama dalam membuat sesuatu keputusan berkenaannya terutamanya apabila melibatkan aspek agama, jiwa, akal, keturunan dan harta secara keseluruhannya ke arah pembentukan institusi masyarakat madani yang adil dan progresif. 

Perkara yang perlu kita sebarkan..


Jom Solat...

Jangan Lupa Solat



Ibadah Solat adalah satu ibadah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara lansung atau terus tanpa perantaraan Jibril a.s. sepertimana yang telah kita ketahui di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.Ini memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa ibadah solat  adalah ibadah yang amat penting sehingga Allah Taala mengangkat Rasulullah SAW sendiri kelangit untuk mengambil kefardhuan solat seumpama seorang ketua memanggil pekerjanya ke dalam bilik untuk memberikan tugasan yang amat penting.
Oleh yang demikian kita telahpun memahami dan meyakini bahawa pengaruh atau kesan positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu besar terutama dalam membentuk jiwa, diri, akhlak mulia, sifat amanah, perpaduan dalam menuju keberkatan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
 Betapa besar kepentingan dan hikmah solat kepada orang-orang Islam yang beriman, di antaranya ialah:

1) Solat Untuk Menyembah dan Mengingati Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T

”Sungguh aku ini Allah,tidak ada tuhan selain aku Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku”.
(S. Thaha: 14)



Solat adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala.Tidak ada jalan lain untuk kita hamba yang beriman ini untuk berhubung dengan Allah melainkan dengan hanya menunaikan solat.Justeru,orang Islam yang tidak menunaikan solat sebenarnya adalah orang yang tidak mengakui Allah itu tuhan yang patut disembah.Malah mereka ini adalah golongan yang telah menipu terhadap pengakuan di dalam syahadah dan  ikrar mereka.Orang Islam yang mengingati Allah,maka Allah akan sentiasa mengingati mereka seperti

                                                                firman Allah Taala 
"Maka ingatlah kepadaKu ,Aku pun akan ingat kepadamu."(Ayat 152:Surah al-Baqarah)

2) Tanda pengabdian dan syukur kepada Allah Azzawajalla.
Solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. 

                                                               Firman-Nya
”Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberimu(Muhammad saw) nikmat yang banyak. Maka laksanakan solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.(sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah)”. (S. Al-Kautsar: 1-2).

Sekiranya seorang muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana cara dia mengucapkan syukur kepada Allah Taala.Adakah cukup sekadar mengungkap ucapan Alhamdulillah atau terima kasih Allah tanpa solat.Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat adalah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan sombong seperti lagak Firaun dan Qarun.

3)Hikmah Solat Dalam Menghapus Dosa.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud


”Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar”. (HR Muslim).

Dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil.Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas dan bebas dari melakukan dosa.Mata kita mungkin telah terlihat perkara mungkar,lidah kita mungkin berkata sesuatu yang  tidak berhak diperkatakan,begitu juga kepada anggota-angota yang lain yang melakukan kemungkaran.Maka melalui solat ini tadi dengan izin dan rahmat Allah ,kita dapat meminta keampunan dan memadamkan dosa-dosa lalu.Sesuungguhnya orang yang tidak mengerjakan solat adalah golongan yang tidak bimbang dan takut dengan azab dan api neraka Allah. 

4)Sembahyang Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar

Firman Allah S.W.T. 
”…dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”. (S. Al-Ankabuut: 45).


Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat mendirikan solat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.Kita mesti yakin bahawa solat yang ikhlas dan diterima Allah Taala itu  mampu menjadi benteng diri dari perbuatan keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.Orang Islam yang tidak menunaikan solat amat mudah diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu untuk melakukan perkara keji dan mungkar.Sekiranya kita mengamati waktu-waktu solat yang telah diwajibkan kepada kita iaitu Subuh,Zohor,Asar,Maghrib dan Isyak akan menyebabkan kita merasakan tidak ada ruang untuk membuat kemungkaran kerana hampir setiap masa dan ketika kita mendekati  Allah Azzawajalla.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Sesungguhnya amat banyak hikmah solat dalam kehidupan kita seharian.Selain hikmah yang disebutkan di atas solat juga mampu untuk mendidik umat Islam menjadi pengurus yang baik,mampu membentuk disiplin dan mencintai ilmu.Hikmah di atas belum lagi menyentuh berkenaan hikmah solat dari sudut sains dan kesihatan.Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang hikmah solat menurut sains dan kesihatan,rujuklah buku tulisan Dr.Danial Zainal Abidin yang bertajuk "Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada teropong Sains." Wallahualam